Thursday, October 11, 2018

cinta lepas kahwin. Cinta muka buku.


Lama dah aku nak tulis pasal pengalaman aku ni. Tapi aku segan nak tulis. Sekarang aku rasa nak jugak kongsi kisah aku ni untuk bagi semangat kat orang single kat luar sana supaya cepat-cepat nikah. hehe. Lagipun nanti anak aku dah besar, boleh la dia baca macam mana mak dan ayah dia berjumpa sebelum kahwin. 

Alkisahhhh.. 

Masa tu aku student lagi. Masa student dulu, aku ni gila-gila sikit. Aku tak pernah seriyes dalam percintaan. Mungkin aku tak percaya pada cinta kot. Jadi aku habiskan masa bermain game, main facebook,main bola, jalan-jalan cari makan dan baring atas katil sambil letak laptop kat atas perut tengok movie. Kadang aku tengok cerita romantik sambil membayangkan aku main kejar-kejar dalam rumah bersama dengan anak dan isteri aku. Bahagia nyaa. 



Untuk dijadikan cerita, pada suatu hari, facebook aku dihujani notification yang banyak. Aku agak pelik. Sebab aku bukan lah lelaki popular di kampus. Nak dapat notification sebanyak itu agak mustahil bagi aku. Bila aku bukak notification yang banyak tu ,notification tu datang dari seorang gadis yang aku tak kenal. Semua post aku yang lama-lama pun dia like. Seolah-olah dia tengah stalk facebook aku. Tanpa melengahkan masa, Aku bukak la facebook budak tu. Nak tengok gambar dia. Bila bukak, facebook dia ada satu je gambar. Itu pun gambar dia di sawah padi, tapi gambar nampak belakang je. Muka tak nampak. 

Tapi entah macam mana, aku tergerak hati untuk masej dia kat facebook chat. Dengan semangat yang membara, aku pun masej dia di facebook. Maka bermulalah conversation kami di chat. Chat kami lebih kurang mcm ni.. Ni yang aku ingat laa. (kenangan terindah memang susah nak lupa) 

"salam. awk kenal saya ke? " tanya ku 
"tak kenal kot" jawabnya ringkas
"kenapa awk like post saya banyak2? " Tanyaku lagi 
"Saja suka-suka. Bosan duduk rumah. Lagipun saya suka tengok gambar kanak-kanak kat facebook awk." Jawabnya lagi. Cehhh..Cakap je suka tengok gambar aku. Facebook aku dulu memang banyak gambar aku dengan kanak2 yang aku jumpa dalam ward.  


salah satu gambar yg dia like. Gambar zaman muda dulu. 

Lama jugak kami sembang kat chat tu. Banyak topic kami sembang. Rupanya dia pun student kampus aku. Cuma masa aku chat dengan dia tu, dia baru je abis study. Dia tengah cuti panjang dan tunggu panggilan kerja. 

Setelah 2 minggu kenal , aku merasakan aku selesa dgn gadis ni. Walaupun kami tak jumpa pun. Hanya masej-masej di facebook saja. Tak lama lepas tu, tergerak hati aku untuk mengenali dia lebih dekat. Tiba-tiba masa tu jugak lah, aku rasa macam aku nak ajak gadis ni nikah dgn aku. Aku pun tak tahu macam mana aku boleh rasa macam tu. Mungkin Allah yang bagi perasaan tu. Tiba-tiba beb !! ni yang orang kata seru kot. 

Aku pun memberanikan diri untuk bagitahu kat dia apa yg aku rasa. Dua minggu beb !! 2 minggu!! kalau aku ajak nikah, mesti kene reject ! gila ke ape. 2 minggu kenal, terus nak ajak nikah. Aku tak peduli . Kalau kene reject, bukan dia kenal aku pun. Jumpa depan2 pun tak pernah. Aku pun terus masej dia. 

"awak. Saya rasa sy nak jadikan awk sebagai isteri " aku terus direct cakap mcm ni. Aku ni jenis terus terang. 
"hahahaha " dia reply macam ni je.. Dia fikir aku gurau la kot. 
"saya seriyes ni awk ". kata ku lagi. 
" 2 minggu dah nak ajak nikah? tak cepat sangat ke? kita tak pernah jumpa lagi. awak orang macam mana pun saya tak tahu " balasnya ringkas 
"tak apa. Nikah cepat-cepat. kita kenal hati budi masing-masing selepas nikah. " Kataku lagi. Aku dari dulu memang mengidamkan cinta lepas nikah . 
"kalau nak, datang laa jumpa mak saya " katanya selamba.. Mungkin dia masih fikir aku bergurau. 

"rumah awk kat mana? " tanyaku lagi. 
"rumah saya dekat dgn masjid kelar pasir mas. ". jawabnya 
"okay..esok saya datang. Boleh tak saya mintak no telepon awk? supaya esok, bila saya dah sampai masjid tu, saya boleh call awk" . aku try mintak telepon dia. 

Dia pun bagi no telepon dia. Mungkin Allah gerakkan hati dia utk bagi nombor telepon dia pada aku. 

Sebelum aku memulakan rancangan aku ni, aku kena lah bagitahu keluarga aku dulu. Pada hari tu jugak aku telepon bapak aku. Aku bagitahu bapak aku yang aku nak melamar seorang gadis kelantan. Bapak aku gelak je. Sebab bapak aku pun tahu yang aku ni tak pernah buat benda macam gini. Makin-makin pasal nikah ni. Nikah bukan benda main-main beb. Bukan main-main seperti sajat mempermainkan minda kita dengan kekeliruan jantina dia. 

"bapak tak kisah aliff nak melamar. Bapak okay. Alif pergi dulu jumpa keluarga gadis tu. kalau gadis tu terima lamaran aliff, bapak okay je. Nanti bapak bagitahu mak aliff. " bapak aku relax je.. 

Aku tahu dia pun berat hati nak bagi aku buat benda ni. Sebab aku masih belajar kot. Mana ada duit lagi untuk menyara keluarga kalau dah nikah. Lagi satu, kami orang sarawak. Nak nikah orang kelantan pulak tu. 

Selepas dapat green light dari bapak aku, aku pun keluar pergi kedai emas. Nak cari cincin untuk bawak ke rumah gadis tu esok. Biarlah aku tak ada hantaran yang di hias cantik-cantik dalam dulang. Aku tak peduli.Yang penting niat aku baik untuk ajak gadis ni ke arah cinta yang halal.

 Aku korek duit simpanan aku. Aku beli sebentuk cincin harga rm200 lebih. Aku hentam je pilih saiz cincin tu. Aku anggar jari manis gadis tu sama besar dengan jari kelingking aku. Jari perempuan kan lebih kecik dari jari lelaki. Lepas dah pilih, Aku pun bungkus cincin tu dalam kotak yang berbentuk love. <3


ini lah cincin yang aku beli tu. Terjumpa gambar ni dalam folder lama

Esoknya, aku pun pergi kerumah gadis tu dengan berbekalkan hanya sebentuk cincin. Tak main la bawak dulang-dulang ni. Aku tak mampu masa tu. Walaupun aku tak pernah jumpa dan tengok muka gadis tu, aku beranikan jugak diri ku yang hina ini untuk pergi ke rumah dia dan melamar dia. 

Masa ni memang betul-betul aku ikut gerak hati. Kawan aku ada tanya aku. Kalau gadis tu tak menepati citarasa aku macam mana? Kalau gadis tu hitam? kalau gadis tu gemuk? Kau okay ke? Aku pun diam dan aku teruskan juga rancangan aku. Yang penting gadis ni bukan pondan. 

Aku ajak seorang member aku bernama izat untuk temankan aku ke rumah gadis tu. Family aku tak dapat datang. Sebab family aku kat sarawak. Tak dapat nak datang kelantan. Sebab plan secara mengejut. Memang tak sempat la nak beli tiket. 

Aku ingat lagi masa aku dah sampai masjid dekat rumah gadis tu, aku pun call dia. Apa lagi . Terkejut beruk gadis tu. Dia tak sangka aku betul-betul datang. Dia pun fikir aku bergurau. Sampai je rumah gadis tu, aku pun terus bagi salam dan senyum dengan mak dia. Masa tu, gadis tu tak ada pun kat situ. Mungkin dia kat dalam bilik. Malu la kot. 

Masa tu , kat ruang tamu ada mak dia je. Gadis tu sembunyi dalam bilik. Dengan perasaan separuh confident bercampur perasaan takut, aku memulakan skrip aku. Aku ingat lagi skrip aku masa tu. Memang aku praktis dah baca skrip ni malam sebelum tu. Praktis depan cermin. 

"makcik, saya berkenan dengan anak makcik. Dan saya nak jadikan anak makcik teman hidup. Cuma sekarang, saya masih lagi belajar. InsyaAllah setahun lagi saya akan abis belajar dan bekerja. Jadi saya datang ni nak meminang anak makcik " . Sebijik macam ni skrip aku masa tu. Aku tak boleh lupa. Skema betul skrip aku ni.  

Dengar je aku cakap mcm tu, mak dia pun senyap je. Dia pun panggil la anak dia yang aku nak lamar tu. Lalu keluar lah gadis tu dari dalam bilik. Masa tu lah pertama kali aku tengok muka dia. Aku terpesona sekejap tengok kecantikan dia. Aku tengok je gadis tu, seolah-olah gadis tu berjalan dalam keadaan slow motion sambil rama-rama berterbangan di sekeliling badan gadis tu. Hebat imaginasi aku masa tu. Mungkin ini lah dikatakan cinta pandang pertama. Dalam hati aku, aku dah menjerit kegembiraan. Cantik kot. Lalu mak dia pun tanya la anak dia tu. 

"aaa.. kak chik sudi tak? " mak dia panggil dia kakchik. 
"ikut lah ummi " jawab gadis tu sambil terangguk malu. 

Semudah itu. Allah permudahkan urusan ku. Aku pun terus bagi cincin kepada mak dia. Mak dia tolong sarungkan cincin tu pd jari manis dia. Kami tak halal lagi masa tu, jadi saya tak dapat la sarung cincin tu pada jari dia sambil melutut macam dalam movie orang putih tu. Pada tarikh tersebut kami sah bertunang. Kami tetapkan tarikh perkahwinan kami 4 bulan selepas tarikh pertunangan tu. Kami tak nak tunang lama-lama. Lagi cepat nikah, lagi bagus. Pada tanggal 25 april 2014, kami sah diijabkabulkan dengan majlis yang sungguh sederhana. 

Selepas akad nikah, bermula lah percintaan kami. Iaitu Love after marriage (cinta lepas nikah). Nak tahu betapa indahnya cinta lepas nikah, korang semua cuba la sendiri. Kalau korang berkenan dengan seseorang,korang terus jumpa keluarga diaorang, dan terus ajak kahwin. Ada berani ke??  -TAMAT- 

1 comment:

Cuya said...

Kalau perempuan nak minang laki boleh tak? XD

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...